Malaysia-China perluas aspek pelaburan, perdagangan

Malaysia-China perluas aspek pelaburan, perdagangan

ANWAR Ibrahim ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus yang dipengerusikan Presiden Xi Jinping di Tianjin Meijiang Convention Centre semalam. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia me­negaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan strategik dengan China menerusi perluasan kerjasama dalam aspek perdaga­ngan dan pelaburan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–China di ibu negara China petang semalam, dengan menyaksikan penyertaan lebih 120 syarikat dan konglo­merat utama China.

Pendirian tersebut sekali gus dapat membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, nadir bumi, ekonomi biru, pendidikan, penyelidikan dan beberapa bidang lain.

“China membuka banyak peluang di Malaysia daripada pertanian hingga semikonduktor, pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan telekomunikasi.

“Malaysia kini muncul sebagai hab tenaga dan semikonduktor rantau ini, dengan banyak syarikat antarabangsa, termasuk dari China, menjadikan negara kita pusat operasi dan ibu pejabat serantau,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya semalam.

Anwar tiba di Tianjin, China, Ahad lalu bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke negara itu, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

Anwar berkata, Malaysia mempunyai banyak kelebihan membolehkan kedua-dua negara memperoleh manfaat dalam pelbagai aspek demi pembangunan negara.

“Malaysia mempunyai landskap politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, daripada Strategi Semikonduktor Nasional, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan hinggalah kepada agenda peralihan tenaga termasuk ASEAN Power Grid.

“Di bawah inisiatif Belt and Road pula, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi makna tersendiri kerana ia membawa pembangunan ke wilayah luar bandar dan pedalaman. Insya-Allah, kita akan membincangkan kemungkinan melanjutkan ECRL sehingga ke sempadan Thailand.

Perdana Menteri turut menyen­tuh mengenai tokoh korporat terkemuka Malaysia, Tan Sri Ro­bert Kuok sebagai contoh kepercayaan jangka panjang terhadap potensi ekonomi China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN