SEPANG: Malaysia tekad membantah secara menyeluruh sekiranya konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dijangka memasuki Zon Merah pada pukul 7 malam esok dipintas rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, beliau akan menghubungi rakan antarabangsa termasuk China, Itali, Sepanyol, Turkiye, Perancis dan Arab Saudi bagi mengusulkan pendamaian terhadap Palestin.
“Kita akan memulakan bantahan secara keras dan menyeluruh dan saya akan hubungi sedaya upaya semua rakan-rakan termasuk negara yang mengemukakan usul pendamaian selain daripada yang penting (seperti) Itali, Sepanyol dan Turkiye.
“Selain itu, dengan hubungan negara China dan kemudian kita lihat keupayaan ikhtiar yang dikemukakan oleh Perancis dan Arab Saudi dan kita juga hubungi mereka kerana mahu usulkan pendamaian,” katanya ketika dalam sidang akhbar di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyertai panggilan video bersama 34 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi berkenaan yang kini berada di Zon Kuning 2 sebelum dijangka memasuki Zon Merah malam esok.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, Oktober depan sebagai penting bagi memastikan penyelesaian lebih adil terhadap konflik Palestin.
“Tentunya saya harap pertemuan dengan Donald Trump ini dan di Sidang Kemuncak ASEAN, kerana kalau ada penyelesaian yang agak berkesan walaupun tidak sepenuhnya memuaskan kita.
“Yang kita minta awal sekali hentikan serangan ganas ke atas Palestin, jamin kemerdekaan mereka dan kemudian segera bantuan kemanusiaan serta perubatan ke Palestin.
“Dan ini bagi saya mengapa kita katakan hubungan dengan negara-negara barat dan Arab itu penting termasuk Amerika Syarikat,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan beberapa negara antarabangsa yang menyokong cadangan Trump bagi menamatkan perang di Gaza, Anwar berkata perkara itu akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Kita sedang teliti kerana kebanyakan negara Arab bersetuju, asalkan dihentikan keganasan, dijamin kemerdekaan Palestin dan disegerakan bantuan kemanusiaan.
“Perincian lain masih dirundingkan dan saya akan bawa perkara ini ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan,” katanya. – UTUSAN