KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan injunksi larangan (prohibitory injunction) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Telegram Messenger Inc berhubung dua saluran di platform berkenaan, iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Peguam mewakili MCMC, S. N. Nair berkata, Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan suruhanjaya tersebut untuk menghentikan kedua-dua saluran daripada terus menyebarkan kandungan memudaratkan serta melanggar undang-undang.
Dengan keputusan itu, Telegram diwajibkan mematuhi perintah mahkamah bagi menutup atau menghentikan penyebaran kandungan di kedua-dua saluran berkenaan sehingga kes selesai.
“Mahkamah membenarkan permohonan supaya 33 artikel yang dipertikaikan dikeluarkan daripada dua saluran tersebut. Permohonan ini dibenarkan kerana ia merupakan sebahagian daripada tuntutan utama.
“MCMC turut memohon injunksi mandatori, namun mahkamah berpendapat ia tidak wajar diberikan pada peringkat ini kerana isu tersebut bukan berkaitan penapisan kandungan.
“Oleh itu, mahkamah hanya membenarkan injunksi larangan,” katanya kepada media ketika ditemui di sini.
Prosiding berkenaan dijalankan secara tertutup.Mahkamah turut menetapkan 24 September ini bagi pengurusan kes.
Pada 19 Jun lalu, MCMC memaklumkan pihaknya telah memfailkan tindakan sivil bagi mendapatkan perintah injunksi interim selepas kegagalan Telegram sebagai pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)] untuk menangani kandungan berulang yang dilaporkan.
Suruhanjaya itu menegaskan, langkah tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan berterusan terhadap semua penyedia platform media sosial bagi memastikan kandungan yang diterbitkan tidak melanggar undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan awam.-UTUSAN











