Lembah Bertam jadi 'lembah plastik' - Sultan Pahang

Lembah Bertam jadi ‘lembah plastik’ – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat kebun sayur selepas merasmikan Pertanian Moden Lestari Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 di Tringkap di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: “Lembah Bertam bukan seperti dahulu lagi, kini sudah bertukar menjadi ‘lembah plastik’.”

Itu titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa kecewa melihat wajah kawasan tanah tinggi itu berubah ekoran lambakan plastik yang mencacatkan keindahan semula jadinya.

Baginda bertitah, keadaan itu tidak lagi menggambarkan keindahan Lembah Bertam pada zaman dahulu, sebaliknya kini penuh dengan plastik sehingga hilang identiti asalnya.

“Saya mungkin mahu tukar nama lembah ini kerana plastik terlalu banyak sangat dan langsung tidak menggambarkan kecantikan Lembah Bertam yang sebenarnya seperti di zaman dahulu.

“Namun tak apa, nasi sudah jadi bubur, kita tak mahu menuding jari, semua pihak perlu bertanggungjawab,” titah baginda ketika merasmikan Pertanian Moden Lestari Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 di Tringkap, di sini, semalam.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, aktiviti pembukaan tanah tinggi di Cameron Highlands tidak boleh lagi dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira ketinggian atau cerun bukit.

“Saya sudah maklumkan kepada kerajaan negeri dan barisan Exco supaya perkara ini diberi perhatian serius dan dijadikan penanda aras untuk projek-projek akan datang. Tuan punya projek juga mesti bertanggungjawab pada bukit atau tanah yang dipotong,” titah baginda lagi.

Al Sultan Abdullah turut mengingatkan pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak meluluskan sebarang projek secara terburu-buru tanpa meneliti aspek peraturan.

“Projek SMACH ini contohnya pun ambil masa dua tahun untuk disemak dan ia mesti ikut peraturan kerajaan negeri. Jangan sesekali potong jalan dalam soal kelulusan. Jangan ‘cut corners’,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN