Lembaga Siasatan ATM teliti kes anggota TUDM hilangkan diri

Lembaga Siasatan ATM teliti kes anggota TUDM hilangkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneliti kes kehilangan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 24 Ogos lalu sebelum ditemukan selamat di Ampang dekat sini semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar berkata, prosedur operasi standard (SOP) telah sedia ada dan kes terbabit tidak terkecuali.

“Siasatan akan dijalankan ATM dari setiap sudut sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan anggota terbabit iaitu Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, dilaporkan hilang selepas menyertai Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT) TUDM Bandar Kinrara, dibenarkan pulang bersama peserta lain pada 22 Ogos lalu.

Semua peserta kursus diarahkan melapor diri semula pada 25 Ogos namun dia gagal berbuat demikian sebelum satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyelia kursus pada hari sama.

Berdasarkan siasatan polis sebelum ini, Muhammad Ammar yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dekat sini, kali terakhir dilihat berada di Sungai Kedondong pada 23 Ogos kira-kira pukul 4.30 petang.

Difahamkan, anggota terbabit berbuat demikian kerana dikatakan takut selepas terbabit kemalangan kecil dengan kenderaan seorang pegawai tentera di Subang pada malam 22 Ogos.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, Muhammad Ammar ditemukan kira-kira pukul 1 petang semalam di unit kondominium milik teman wanitanya di Ampang.

Dia ditemukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang yang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.

Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan berhubung kehilangan anggota terbabit serta tiada kesan kecederaan pada badannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×