PARIT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Perak dekat Lambor Kiri Rabu lalu, ditemukan lemas hari ini.
Mayat Norman Mohd. Noh, 27, ditemui terapung oleh nelayan di Kampung Pasir Kubu, Kampung Gajah sekitar pukul 2 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, mangsa dijumpai kira-kira enam kilometer dari lokasi pakaiannya ditemukan di tebing sungai.
Katanya, anggota yang tiba di lokasi dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) segera melaksanakan operasi menaikkan mangsa.
“Lelaki itu disahkan telah meninggal dunia berdasarkan keadaan fizikalnya. Keluarga yang berada di lokasi turut membuat pengecaman dan mengesahkan identiti mangsa.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 3.15 petang,” katanya.
Menerusi laporan media Jumaat lalu, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi di Sungai Perak.
Difahamkan, mangsa tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu selepas melakukan kerja-kerja menguruskan lembu peliharaan masuk ke kandang sekitar pukul 2 petang.
Mangsa memaklumkan kepada bapanya untuk mandi di sungai namun tidak pulang ke rumah dan hanya pakaiannya yang ditemui di lokasi kejadian. – UTUSAN










