IPOH: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah premis di Jalan Silang 3, Chemor di sini semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian diterima pada pukul 8.17 malam.
Katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati tangan mangsa masih tersepit di dalam mesin tersebut dan mangsa dalam keadaan sedar.
“Ketua operasi kemudian meminta bantuan pasukan perubatan memberi bius pada tangan lelaki terbabit kerana mangsa mengalami kesakitan ketika proses menyelamat dijalankan,” katanya.
Menurut beliau, operasi menyelamat dijalankan dengan membuka skru bagi mengasingkan bahagian asas mesin sebelum gear pengisar diputar berlawanan arah sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan sepenuhnya.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan dan dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.50 malam,” katanya. – UTUSAN