JOHOR BAHRU: Seramai 43 individu yang sedang leka berjudi laga ayam dicekup polis dalam dua serbuan berasingan di Kampung Melayu Pandan, di sini dan Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi, semalam.
Dalam serbuan antara pukul 12.35 tengah malam hingga 4 petang itu, polis turut merampas 34 ekor ayam yang digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 warga tempatan dan 15 warga asing berusia 21 hingga 71 tahun.
Katanya, operasi dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan Bahagian Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) bersama Bahagian Siasatan Khas (D9) Kontinjen Johor serta pasukan jenayah daerah Seri Alam dan Kota Tinggi.
“Modus operandi licik kumpulan terbabit adalah dengan memilih kawasan pedalaman sebagai lokasi gelanggang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Hanya pelanggan tertentu yang dikenali akan dijemput masuk. Pertarungan ayam dijalankan dalam gelanggang bulatan dengan setiap sesi berlangsung kira-kira 20 minit dan lima hingga 10 pertaruhan dijalankan.
“Nilai pertaruhan bermula daripada RM550 hingga RM2,000, manakala penganjur mengambil komisen sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan wang pertaruhan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ab Rahaman, antara rampasan dibuat ialah 22 ekor ayam hidup, 12 ekor ayam mati, sangkar besi, peralatan sabung ayam, pisau taji, penimbang berat serta wang tunai berjumlah RM22,489.
Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan dua penganjur perjudian laga ayam itu masing-masing seorang warga tempatan dan seorang warga asing.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – UTUSAN










