TANJUNG MALIM: Lebih 20 penduduk terperangkap dalam banjir di Kampung Simpang 4 Dalam di sini berikutan hujan sejak malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir di kampung tersebut pada pukul 6.02 pagi.
Menurutnya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dan BBP Slim River ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kejadian melibatkan lebih daripada 20 orang mangsa yang terperangkap di dalam banjir tersebut dan keadaan air pada ketika ini sedang menaik.
“Setakat ini operasi menyelamat masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN