KPM teliti cadangan tambah insentif, jumlah warden - Utusan Malaysia

KPM teliti cadangan tambah insentif, jumlah warden

MOHD. Azam Ahmad (tengah) menyapa barisan pengetua yang hadir semasa Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Kali Ke-63 di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti beberapa cadangan memberi insentif termasuk menambah jumlah warden di asrama sekolah dalam usaha mengurangkan bebanan tugas sedia ada.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, selain cadangan untuk melibatkan guru luar normal iaitu mengajar empat atau lima waktu seminggu turut diteliti.

“KPM melihat warden dalam kalangan guru amat penting kerana mereka boleh merancang dan melaksanakan aktiviti pendidikan di asrama. Buat masa ini tiada keperluan untuk mengambil pesara tentera atau polis sebagai warden asrama sekolah.

“Asrama bukan sekadar tempat tinggal pelajar, sebaliknya berfungsi sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan. Ia (asrama) perlu dilihat sebagai tempat anak-anak bukan sahaja menetap, tetapi juga mengikuti aktiviti sokongan pendidikan yang disusun khas untuk membentuk sahsiah mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Kali Ke-63 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Azam memberitahu, KPM mengambil serius aduan segelintir guru yang mendakwa terbeban dengan tugas disebabkan arahan pengetua.

Katanya, dakwaan tersebut dibuat melalui surat layang yang dihantar oleh segelintir guru.

“Walaupun ia hanya sekadar aduan menerusi surat layang bukannya laporan secara rasmi, namun kita sentiasa mengambil serius isu berkenaan,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN