Kongsi gelap lindungi kartel diesel di Sarawak

Kongsi gelap lindungi kartel diesel di Sarawak, didalangi dua individu status ‘Datuk’

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kumpulan kongsi gelap yang didalangi dua individu bertatus ‘Datuk’ disahkan memonopoli kegiatan pembekalan diesel komersial di Sarawak.

Mendedahkan kegiatan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertubuhan kongsi gelap itu berperanan sebagai ‘enabler’ (memudahkan aktiviti penyeludupan atau jenayah) dan menawarkan perlindungan kepada kartel.

Beliau berkata, kumpulan kongsi gelap itu juga berperanan memudahkan aktiviti mengeluarkan minyak dan mendapatkan minyak daripada nelayan selain mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Ya (ia didalangi kongsi gelap), sudah tentu,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan Op Karen di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azam mengesahkan tiada maklumat pembabitan orang kenamaan dalam kegiatan kartel itu.

Ditanya juga sama ada kartel membabitkan individu berstatus Datuk, Azam berkata, pihaknya mengesahkan ada dua individu berstatus Datuk terlibat dalam kartel itu.

Selain itu, Azam turut mengesahkan bahawa individu yang telah ditahan adalah daripada syarikat pembekal diesel dan bukannya daripada anak syarikat kerajaan negeri.

Setakat ini, Op Karen yang bertumpu di Kuching, Sibu dan Bintulu telah berjaya menahan lima individu termasuk tiga pengarah syarikat dan masing-masing seorang pengurus syarikat dan pengurus wilayah.

Tambah Azam lagi, pihaknya juga akan memanggil 15 lagi saksi untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Op Karen di Sarawak dan Sabah bermula 2 hibgga 8 September lalu telah berjaya membanteras sindiket rasuah, penyeludupan dan penggubahan wang haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan dianggarkan RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

Sindiket itu dipercayai telah memonopoli tender ini sejak 10 tahun lalu sehingga kini, malah berjaya memenangi tender kerana menawarkan harga minyak diesel yang rendah berbanding petender-petender syarikat pengeluar minyak besar yang lain.

Selain itu, bekalan minyak diesel untuk dibekalkan kepada kerajaan negeri ini juga dipercayai akan diseludup serta diseleweng kepada kapal luar persisir (offshore). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN