Dunia hiburan sering digambarkan sebagai lambang kemasyhuran dan glamor. Namun di Korea Utara, ada beberapa kehidupan selebritinya berakhir dengan kisah penuh duka, pengkhianatan, dan penderitaan di bawah pemerintahan diktator yang keras.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa kemasyhuran di negara tersebut diikuti dengan risiko yang berbahaya bahkan mampu mengancam nyawa.
Berikut merupakan kisah tragis beberapa selebriti Korea Utara.
SONG HYE RIM
Song Hye Rim merupakan pelakon terkenal pada era 1960 yang pernah mencapai kemuncak kemasyhuran di Korea Utara. Namun, hidupnya berubah selepas dikatakan menjadi wanita simpanan Kim Jong Il dan melahirkan anak mereka, Kim Jong Nam.
Hubungan tersebut turut dirahsiakan daripada pemimpin tertinggi Kim Il Sung, menyebabkan Song disingkir dari dunia hiburan dan dipaksa menjalani hidup dalam pengasingan.
Mereka yang mengetahui rahsia itu, termasuk sahabat dan keluarganya, turut dihukum dengan kejam sehingga ada yang dipenjarakan dan mati dalam tahanan.
Song kemudian menetap di Moscow untuk rawatan dan meninggal dunia di sana pada 2002.
CHOI EUN HEE DAN SHIN SANG OK
Pelakon tersohor Korea Selatan, Choi Eun Hee dan suaminya, pengarah filem Shin Sang‑ok, menjadi mangsa penculikan oleh agen Korea Utara pada 1978. Mereka dipaksa tinggal di Pyongyang dan menghasilkan filem propaganda untuk Kim Jong Il.
Sepanjang lapan tahun dalam tahanan, mereka dikerah untuk menghasilkan beberapa filem atas arahan pemimpin Korea Utara.
Pada 1986, pasangan tersebuf berjaya melarikan diri ketika menghadiri festival filem di Austria dan memohon suaka di Kedutaan Amerika Syarikat di Vienna.
RI CHUN GU
Ri Chun Gu merupakan penulis skrip terkenal Korea Utara, dikenali melalui karya berskala besar seperti The Nation and Destiny.
Beliau menerima pelbagai anugerah tertinggi negara, termasuk Hero of Labour sebanyak dua kali sekali gus mencatatkan satu pencapaian luar biasa.
Namun, pada sekitar tahun 2008, beliau dijatuhkan hukuman kerja paksa selepas dilaporkan menolak arahan Kim Jong Il mengenai suntingan skrip. Walaupun akhirnya dibenarkan menulis semula, reputasinya sudah tercalar.
Bagaimanapun Ri meninggal dunia pada Jun 2023 serta mendapat penghormatan terakhir daripada Kim Jong Un. Namun, kisahnya kekal sebagai simbol betapa rapuhnya kedudukan seseorang dalam sistem politik Korea Utara walau sehebat mana jasa mereka.
WOO IN HEE
Woo In Hee, seorang pelakon terkenal era 1960 yang pernah menjadi ikon kecantikan Korea Utara. Beliau juga dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Kim Jong Il. Namun, apabila hubungannya dengan lelaki lain terbongkar, nasibnya berubah tragis.
Pada 1981, Woo dihukum mati secara terbuka di hadapan lebih 6,000 orang. Beliau diikat dan ditembak oleh pasukan penembak menggunakan senjata AK‑47.
Lebih tragis, suaminya sendiri dipaksa menyaksikan momen Woo menerima hukuman tersebut. Kemudian, segala rekod mengenai pelakon itu dihapuskan oleh kerajaan seolah-olah beliau tidak pernah wujud.
O MI RAN
O Mi Ran pernah menjadi wajah kegemaran rakyat Korea Utara selepas membintangi filem, A Broad Bellflower dan drama bersiri, The Nation and Destiny. Beliau meninggal dunia pada usia 52 tahun akibat kanser payudara pada 2006.
Terdapat khabar angin yang menyatakan mendiang pernah menjadi wanita simpanan Kim Jong Il, namun tidak pernah disahkan.
Pemimpin tertinggi itu menghantar bunga sewaktu pengebumiannya sebagai penghormatan terakhir sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Untuk info, O Mi Ran pernah menerima pelbagai anugerah negara dan menjadi simbol wanita ideal dalam propaganda kerajaan Korea Utara sewaktu era kegemilangannya.