Kisah Sultan Perak pertama dalam teater Beting Beras Basah - Utusan Malaysia

Kisah Sultan Perak pertama dalam teater Beting Beras Basah

SIDANG akhbar mengenai persembahan teater Beting Beras Basah di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kisah Raja Mudzaffar diangkat menjadi sultan pertama negeri Perak akan dipersembahkan kepada orang ramai menerusi teater bertajuk Beting Beras Basah pada penghujung bulan ini.

Persembahan itu mengambil inspirasi daripada kejadian berlaku hampir 500 tahun lalu di lokasi Beting Beras Basah, Bagan Datuk sewaktu bahtera almarhum Sultan Mudzaffar Shah tersangkut ketika mudik di Sungai Perak.

Pementasan Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah itu akan berlangsung pada selama tiga hari dari 26 hingga 28 September di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri (JKKN) Perak serta pada 10 dan 11 Oktober depan di Auditorium JKKN Melaka.

Yang Dipertua Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak, Datin Shahnoor Zahurin berkata, pementasan bakal menceritakan hampir keseluruhan peristiwa yang berlaku.

“Diharapkan kisah ini membantu masyarakat daripada pelbagai lapisan mengetahui tentang warisan sejarah kesultanan. Kira-kira 95 peratus kandungan yang dipersembahkan adalah mengikuti kejadian sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sultan Mudzaffar Shah merupakan putera kedua Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Melaka yang terakhir.

Tahun 1528 baginda dijemput untuk dirajakan di Perak, namun ketika perjalanan bahteranya tersangkut di timbunan pasir di muara Sungai Perak dan kejadian itu menjadi babak penting dalam pembentukan Kesultanan Perak yang bakal mencecah usia 500 tahun.

Shahnoor berkata, disebabkan kaitan baginda dengan susur galur kesultanan Melaka, maka pihaknya turut mengambik keputusan untuk menayangkan teater tersebut di Melaka pada Oktober.

Jelasnya, kira-kira 30 orang barisan pelakon akan terlibat dalam pementasan itu termasuk Reza Hasbi selaku watak utama untuk memainkan peranan sebagai Sultan Mudzaffar Shah.

Ketika ditanya, Reza menyatakan beliau berbesar hati dapat melakonkan watak Baginda dan mahu menjiwai sebaiknya dan menyampaikan persembahan terbaik dalam lakonan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN