KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak sesekali bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setelah ditawarkan hanya lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau sekali lagi menegaskan pendirian tersebut ketika bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memanggil saya di Parlimen bertanya adakah jalan untuk bekerjasama dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor. Saya cakap tidak, beri kami hanya lapan kerusi mana boleh.
“Susah berunding dengan GRS. Kerusi kita pun mereka mahu ambil termasuk enam kerusi bekas ahli UMNO yang melompat sebelum ini seperti kerusi Shahelmey (Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya) di Tanjung Keramat, Tempasuk dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pada majlis bersama media semalam.
Bung Moktar kemudian menyifatkan PRN Sabah kali merupakan pertempuran terakhir untuk BN kembali menguasai kerajaan.
Justeru itu, beliau berkata, BN dan UMNO akan bertanding di semua kerusi tradisinya sebelum ini termasuk dipinjamkan kepada parti lain ketika PRN Sabah 2020 dengan sasaran kira-kira 40 kerusi menerusi kerjasama dengan PH.
“Lihat Parti Warisan selepas Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tiada, Warisan habis. STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) bergantung kepada Jeffrery (Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan), PGRS (Parti Gagasan Rakyat Sabah), bergantung kepada Hajiji (Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor).
“Tapi UMNO lain, seorang ketua pergi, 20 akan ganti. Itu lainnya dan indahnya UMNO. Jadi saya beritahu UMNO Sabah, ini kita punya ‘last battle’ dan saya melihat peluang UMNO dan BN sangat baik. Peluang ini tidak datang berulang kali,” katanya.
Namun katanya, rundingan BN dan PH berhubung agihan kerusi akan ditandingi belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan akan mempertahankan DUN) Lamag mengakui PRN Sabah sebagai pilihan raya yang rumit berikutan pertembungan banyak gabungan dan parti serta kesukaran mencapai kata sepakat khususnya membabitkan agihan kerusi.
Mengenai majlis bersama media itu, Bung Moktar berkata, ia menjadi wadah untuk memperkukuh komunikasi strategik antara kepemimpinan politik dan pengamal media menjelang PRN Sabah.
“Dalam era politik baharu, suara rakyat tidak hanya terbentuk di Dewan Parlimen atau pentas ceramah, tetapi juga melalui wacana media,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, konstruktif dengan wartawan adalah sebahagian daripada strategi komunikasi UMNO Sabah dalam memastikan maklumat yang tepat dan seimbang sampai kepada rakyat. – UTUSAN










