PETALING JAYA: Polis akan merujuk kertas siasatan anggotanya yang cedera di bahagian muka ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan individu di Hospital Sungai Buloh ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) petang ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan akan dirujuk ke TPR untuk arahan selanjutnya.
“Kertas siasatan sudah dilengkapkan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan anggota polis cedera di bahagian muka ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan individu di Hospital Sungai Buloh.
Polis menerima panggilan pada pukul 2.10 pagi berhubung pergaduhan di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh.
Sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian namun anggota polis yang bertugas di pondok polis hospital berkenaan sudah bergerak awal untuk mengawal keadaan sebelum ketibaan pasukan peronda.
Sebaik pasukan peronda polis tiba di dapati anggota berkenaan dipukul oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an.
Berdasarkan maklumat awal anggota polis berkenaan cuba meleraikan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dan wanita bagaimanapun suspek lelaki tempatan itu bertindak agresif dan menyerang anggota polis berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di muka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – UTUSAN










