Kerja sudah buat, kenapa belum bayar lagi - Eric Fuzi

Kerja sudah buat, kenapa belum bayar lagi – Eric Fuzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota kumpulan Floor 88, Eric Fuzi, kesal apabila ada pihak yang didakwa culas melunaskan bayaran selepas tugasan kerja disempurnakan.

Jelas Eric atau Muhamed Eric Muhamed Fuzi, 32, bayaran yang masih tertangguh itu menyukarkan dirinya untuk menyelesaikan komitmen kewangan bulanan.

“Nampak sahaja buat persembahan sana sini, penggambaran sana sini tawaran banyak. Nak beritahu bulan ini kos overhed bulan ini tak lepas ya sebab bayaran semua masih tertangguh.

“Jangan nak persoalkan masa simpanan, sudah habis di tempat lain,” luahnya menerusi satu perkongsian di Threads pada Rabu.

Menurut pemain keyboard kumpulan popular tersebut, beliau turut menegaskan bahawa simpanan peribadi yang dimiliki sebelum ini telah habis digunakan bagi menampung kos lain.

“Kerja sudah dilaksanakan. Mengapa perlu ditangguh-tangguhkan lagi? Bayarlah,” tegasnya.

Dalam pada itu, dia turut menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang juga rakan usahawan yang didakwa berhutang dengannya dalam urusan berkaitan perniagaan, namun masih mendiamkan diri sehingga kini.

“Itu belum lagi termasuk yang berhutang dengan kedai saya. Senyap sahaja,” katanya tanpa menjelaskan butiran terperinci mengenai jumlah hutang tersebut.

Terdahulu, Eric pernah berkongsi bahawa perniagaan Masok Foodcourt, yang diusahakan bersama beberapa anggota kumpulan Floor 88 lain pernah berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kewangan dan kekurangan aliran tunai untuk menyelenggara operasi.

Masok Foodcourt yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur, sebelum ini diwujudkan sebagai inisiatif menjana pendapatan alternatif buat mereka dalam kumpulan susulan ketidakstabilan industri hiburan, khususnya ketika negara dilanda pandemik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN