KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memperluas laluan pendidikan teknikal termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan lebih ramai jurutera profesional yang mampu memenuhi keperluan pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu penting berikutan Malaysia masih berdepan kekurangan jurutera profesional berbanding negara maju seperti Jerman dan Perancis.
Menurutnya, peningkatan bilangan jurutera sahaja tidak memadai kerana negara memerlukan tenaga mahir yang mempunyai kepakaran khusus untuk menggerakkan agenda pembangunan masa depan.
“Negara memerlukan jurutera yang bersedia untuk membangunkan bandar pintar, infrastruktur moden, kawasan kediaman lestari dan sistem air yang cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Asean Key Engineering Conference & Marvex 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkenalkan skim tenaga hijau korporat dan mekanisme bekalan tenaga hijau yang memberi ruang kepada syarikat menyertai pasaran tenaga boleh diperbaharui secara lebih meluas.
Fadillah berkata, inisiatif itu penting untuk melonjakkan pelaburan dalam tenaga solar, biojisim dan hidrogen hijau, selain memperkukuh integrasi sistem grid pintar di peringkat nasional.
Menurutnya, usaha tersebut melengkapi sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi tumpuan kepada kelestarian dan peningkatan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Katanya, platform seperti Ingenier & Marvex turut berperanan menyediakan ruang pembangunan profesional, pertukaran ilmu dan kerjasama antara jurutera, inovator serta pemain industri.
Acara itu bukan sekadar pameran tetapi medan penting yang menghimpunkan tenaga pakar dari rantau ASEAN dan antarabangsa untuk membincangkan teknologi baharu, penyelesaian praktikal dan keperluan tenaga masa depan.
Katanya, kolaborasi erat antara kerajaan, akademia dan sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan aspirasi besar di bawah RMK-13 dapat direalisasikan.
Fadillah turut menggesa semua pihak memanfaatkan platform sedia ada bagi memperkukuh kapasiti tenaga kerja profesional dan menyediakan Malaysia menghadapi cabaran teknologi baharu. – UTUSAN










