Keputusan representasi CEO GISBH, 21 individu diketahui 30 Oktober

Keputusan representasi CEO GISBH, 21 individu diketahui 30 Oktober

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 30 Oktober sebagai tarikh keputusan berhubung representasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 individu lain yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membuat ketetapan tersebut ketika prosiding di Kompleks Penjara Kajang selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi dikemukakan.

Peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh bersetuju dengan tarikh baharu itu. 

Menurut beliau, representasi tersebut antara lain bertujuan memohon AGC mengkaji semula pertuduhan termasuk cadangan supaya seksyen undang-undang yang lebih ringan digunakan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ikat jamin Nasiruddin dan 12 lelaki lain, menyebabkan mereka kekal ditahan di Penjara Kajang sehingga perbicaraan.

Antara yang turut ditahan ialah Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33; Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md. Jasin, 58; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Sementara itu, sembilan wanita termasuk isteri Nasiruddin, Azura Md. Yusof, 58, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan syarat ketat. 

Turut dibenarkan jaminan ialah Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33; Siti Salmiah Ismail, 58; dan Hamimah Yakub, 73.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024. 

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini menolak permohonan ikat jamin terhadap 13 lelaki tersebut selepas berpendapat mereka gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain keadaan kesihatan mereka yang dianggap stabil dan mampu menguruskan diri.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pada 11 September 2024, polis telah menyerbu lebih 20 rumah amal GISBH susulan dakwaan penderaan dan eksploitasi kanak-kanak menerusi Op Global. 

Siasatan dilaksanakan di bawah beberapa undang-undang termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Bagaimanapun, pada 23 Oktober 2024, hanya pertuduhan tunggal di bawah Seksyen 130V(1) dikemukakan terhadap Nasiruddin, Azura, Adib serta 19 individu lain. 

Pada 15 Februari lalu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala pada 15 Mei, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan habeas corpus difailkan Nasiruddin dan Azura selepas panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan penahanan mereka sah mengikut undang-undang.

Nasiruddin, yang juga menantu dan pengikut rapat pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, didakwa bersama Azura yang merupakan pemimpin kanan GISBH.

Susulan pendedahan mengenai amalan kumpulan itu yang didakwa membawa doktrin agama menyeleweng, pihak berkuasa agama di Selangor dan beberapa negeri lain telah mewartakan fatwa mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat dan kesinambungan kepada fahaman Al-Arqam yang diharamkan sejak 1994. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN