KUALA LUMPUR: Kumpulan wanita popular era 1990-an, Elite, mendedahkan bahawa mereka menjalani latihan intensif selama setahun sebelum secara rasmi muncul sebagai artis rakaman di bawah label terkenal, KRU Records.
Menurut salah seorang anggota asal kumpulan tersebut, Syasya atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin, 48, beliau bersama rakan-rakan seangkatan iaitu Linda Rafar, Abby Abadi, Azza Zawari dan Watie Sadali telah melalui pelbagai bentuk latihan termasuk vokal dan tarian di bawah bimbingan koreografer profesional syarikat berkenaan.
“Elite ‘disimpan’ selama setahun bagi tujuan latihan bersama penari-penari KRU.
“Akhirnya pada tahun 1995, kami membuat kemunculan sulung dan menjadi kumpulan pertama yang dilancarkan di bawah KRU Records,” ujarnya ketika ditemui pada Konsert Elite Live ’25 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Sabtu.
Tambah Syasya, KRU pada mulanya mencadangkan nama ‘Baby G’ untuk kumpulan tersebut, namun akhirnya memilih nama “Elite” yang lebih sesuai dan menggambarkan keperibadian setiap anggota.
Sejurus debut, Elite terus mencipta nama menerusi single sulung berjudul GIG sebelum mengukir kejayaan lebih besar melalui album penuh pertama mereka, Catwalk, yang diterbitkan pada tahun 1996. Lagu Tamparan Wanita yang hadir tidak lama selepas itu turut menerima sambutan hangat daripada peminat muzik tanah air.
Namun begitu, kejayaan mereka turut diiringi dengan cabaran apabila Abby Abadi mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1998.
“Tak sangka beberapa bulan sebelum saya undur diri, kami sempat merakam lagu Selamat Tinggal Teman. Seolah-olah satu petanda awal bahawa saya bakal pergi.
“Namun hari ini saya kembali bersama sahabat-sahabat lama. Inilah yang dinamakan ukhuwah kerana Allah, persahabatan yang tidak putus walau masa berlalu. Kalau bukan kerana konsert malam ini, belum tentu kami semua dapat berkumpul kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri,” katanya.
Abby bagaimanapun tidak memperincikan punca sebenar pengundurannya ketika itu.
Konsert ELITE LIVE ’25 menyaksikan kumpulan tersebut mempersembahkan lebih 20 buah lagu hits termasuk Manisnya Senyumanmu, Trauma, Tamparan Wanita dan GIG, di hadapan lebih 2,500 orang peminat.
Dalam pada itu, Elite turut merakamkan penghargaan kepada KRU yang dianggap sebagai pencetus semangat dan ilham kepada banyak penyanyi berkumpulan tanah air.
“Sejak konsert KRU tempoh hari, kita lihat ramai kumpulan popular era 90-an kembali muncul semula seperti 4U2C dan Feminin.
“Kami berharap lebih banyak lagi kumpulan lama tampil membuat kemunculan semula demi mengubati kerinduan peminat.” ujar mereka. -UTUSAN