BALIK PULAU : Kelibat seekor buaya yang sedang berenang tidak jauh dari kawasan sebuah hotel berhampiran pantai Teluk Bahang di sini petang tadi mencetuskan kegemparan orang ramai.
Susulan kejadian itu, nelayan serta pengunjung pantai terbabit dilihat mula menjauhkan diri daripada kawasan berkenaan sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani, pihaknya menerima maklumat berhubung kemunculan reptilia berbahaya itu kira-kira pukul 3.30 petang sebelum bergerak ke lokasi dengan bantuan beberapa agensi lain.
Katanya, selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), turut serta dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta nelayan tempatan.
Beliau berkata, buaya tersebut berukuran 12 kaki panjang atau kira-kira 3.7 meter dan dikenal pasti daripada spesis tembaga.
“Percubaan pertama untuk menangkap buaya itu dibuat dengan menggunakan bot serta pukat nelayan. Buaya berkenaan berjaya ditarik ke pantai, namun, ia terlepas selepas pukat pecah dan meloloskan diri semula ke laut,” katanya di sini, hari ini.
Muhammad Aizat berkata, operasi seterusnya yang dijalankan kira-kira pukul 6 petang akhirnya membuahkan hasil apabila reptilia ditangkap dan dibawa ke darat.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan penyelamat pantai (baywatch) APM ditugaskan untuk terus memantau kawasan pesisir dan perairan berhampiran dengan bantuan bot bagi mengesan jika terdapat ancaman lain.
“Pada masa yang sama, orang awam turut dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan pantai berkenaan,” katanya yang menasihatkan mereka supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Negeri APM Pulau Pinang di talian 04-2263876.
Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Mohd. Zulkifli Rahman, 37, berkata, ini kali pertama seekor buaya tembaga dijumpai berhampiran kawasan pantai Teluk Bahang.
“Sebelum ini, tidak pernah berlaku buaya muncul di kawasan pantai di sini kerana tidak ada habitat buaya di sini. Jadi, kami (penduduk di sini) memang terkejutlah apabila dimaklumkan ada buaya,” ujarnya.
Difahamkan, buaya berkenaan telah diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut termasuk bagi tujuan pemindahan ke habitat yang lebih sesuai selepas ini.-UTUSAN










