Kastam Perlis patah cubaan seludup vape bernilai RM12.39 juta

Kastam Perlis patah cubaan seludup vape bernilai RM12.39 juta

ISMAIL Hashim menunjukkan sebahagian peranti vape yang disita Kastam Perlis bernilai RM12.39 juta dalam sidang akhbar di Padang Besar, Perlis hari ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kastam negeri mematahkan cubaan menyeludup lebih 517,000 unit peranti vape dianggarkan bernilai RM12.39 juta selepas menyerbu sebuah gudang di Kampung Kolam di sini, pada 12 Ogos lalu.

Vape berkenaan diimport dari China dan dipercayai akan dipasarkan ke Thailand.

Seorang lelaki berusia 19 tahun yang juga anak kepada pemilik gudang tersebut turut ditahan untuk siasatan namun dibebaskan setelah diikat jamin.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai dari cawangan penguatkuasaan Padang Besar di gudang berkenaan mendapati peranti vape itu tidak mempunyai dokumen pengimportan serta bukti pembayaran cukai yang sah.

Beliau berkata, pihaknya percaya gudang digunakan oleh sebuah syarikat dari Thailand untuk menumpang barangan sebelum diseludup masuk ke negara itu.

“Kes ini merupakan yang ketiga sepanjang tahun ini melibatkan cubaan menyeludup peranti vape ke Thailand dan ia berjaya dipatahkan hasil risikan selama beberapa bulan. Kita sedia maklum, Thailand melarang penjualan vape, justeru wujud permintaan tinggi di pasaran gelap yang mendorong sindiket menyeludup barangan berkenaan melalui sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita juga syak modus operandi mereka adalah dengan menyimpan dagangan itu di dalam gudang tanpa dokumen pengimportan dan bukti pembayaran yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Ismail, sindiket dipercayai menyelitkan vape bersama barangan dagangan lain sebelum dibawa masuk ke negara jiran.

Katanya, siasatan awal mendapati vape tersebut diimport dari China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dipindahkan ke gudang berkenaan.

“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM12.39 juta dengan melibatkan duti dan cukai sekitar RM2.6 juta dan semua barangan kini dalam proses ujian makmal termasuk toksidologi bagi memastikan kandungan cecair dalam peranti tersebut. Sekiranya kandungan vape ini didapati mengandungi bahan terlarang, tindakan lebih berat akan diambil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN