Kanak-kanak lelaki cedera di kepala diserang anjing ketika bermain

Kanak-kanak lelaki cedera di kepala diserang anjing ketika bermain

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas diserang dan digigit anjing ketika bermain di jalan berhampiran kawasan tempat tinggalnya di Batu 9, Cheras dekat sini semalam.

Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang juruteknik berusia 20 tahun kira-kira pukul 11.41 malam tadi berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan itu dibuat oleh abang kanak-kanak berkenaan yang memaklumkan adiknya berusia 6 tahun telah diserang seekor anjing ketika sedang bermain basikal di kawasan berhampiran rumahnya.

Katanya, anjing berkenaan yang kebetulan berada di situ secara tiba-tiba terus menyerang mangsa.

“Tindakan pantas beberapa orang jiran datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian dan kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata, berikutan kejadian tersebut, pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah hadir ke lokasi kejadian setelah mendapat aduan daripada penduduk disitu.
Jelasnya, anjing tersebut telah ditangkap bagi tindakan selanjutnya.

“Status haiwan tersebut masih dalam siasatan samada ia haiwan peliharaan berdaftar atau sebaliknya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan, dimana jika disabit kesalahan dan Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953,” jelasnya.

Ujar Naazron, orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

“Selain menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817,” ujarnya.

Dalam pada itu Naazron menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian supaya mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN