KUALA LUMPUR: Pelakon, Andy Teh, mendedahkan perjalanannya terlibat dalam filem Abah Saya Uncle Mike (ASUM) turut mengubah caranya berkomunikasi dengan bapa kandungnya di luar filem.
Cerita Andy Teh Kim Hua, 39, sebelum ini dia dan bapanya tidaklah serapat boleh berkongsi perasaan atau berpelukan, namun mendalami karakter ‘Uncle Mike’ banyak mengubah personalitinya sebagai seorang anak.
“Selalunya lepas balik kerja tengah malam, saya akan sapa bapa saya yang sedang tonton televisyen dan masuk ke bilik. Cuma ada satu ketika itu, saya duduk sebelah dia. Itupun dia sudah pelik dan tanya ‘kamu buat apa?’.
“Saya terus peluk dia, dalam seminit juga. Kemudian kami berdua menangis sama-sama,” ceritanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Andy mengakui perubahan itu bukanlah sebagaian daripada ‘method acting’ sebaliknya perasaan yang lahir daripada hatinya sendiri.
“Sebelum ini saya dan ayah bukanlah tidak rapat. Cuma apabila sesama lelaki kita jarang berbual perkara melibatkan emosi atau sentuhan fizikal seperti peluk.
“Cuma bila sudah terlibat dalam filem ini, saya jadi lebih menghargai kasih sayang seorang bapa. Saya tidak pula paksa diri untuk buat begitu. Ia lahir secara semulajadi,” ceritanya.
Abah Saya Uncle Mike merupakan filem arahan Ezrie Gazali yang diadaptasi daripada kisah benar menceritakan Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan.
Rafei dan dua adiknya kemudian diselamatkan oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang baik hati, Uncle Mike. Turut sama menjayakan filem ini ialah Idan Aedan, Nor Merah dan Chew Kin Wah.
Filem ini menemui penonton bermula 28 Ogos lalu. -UTUSAN