Kajian 'AI Productivity Paradox' dibentang masa terdekat - KSN

Kajian ‘AI Productivity Paradox’ dibentang masa terdekat – KSN

SHAMSUL AZRI ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hasil kajian berhubung fenomena ‘AI Productivity Paradox’ (Paradoks Produktiviti Kecerdasan Buatan) akan dibentangkan secara lebih terperinci kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menurur Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ketika ini kajian tersebut masih lagi diperincikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Kementerian Digital.

Katanya, kajian tersebut penting bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dalam agenda pendigitalan dan AI benar-benar memberikan pulangan serta hasil yang berkesan.

“Bila kita hendak buat AI atau digitalisasi, kita kena lihat kos efektif sebab ada satu tahap nanti bila kita belanja banyak untuk AI dan digitalisasi, produktiviti itu akan jadi ‘plateau’, jadi kita kena pastikan setiap perbelanjaan yang kita buat ini benar-benar memberi produktiviti yang tinggi dan hasil terbaik untuk kerajaan.

“Kajian ini sedang diperhalusi MPC, INTAN dan Kementerian Digital. Saya akan bentangkan kali kedua secara lebih terperinci (mungkin) dalam dua (atau) tiga minggu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan jentera kerajaan supaya tidak terperangkap dalam fenomena ‘AI Productivity Paradox’ sehingga memberi kerugian kepada negara.

Beliau berkata, ‘AI Productivity Paradox’ adalah pelaburan besar dalam AI dan digitalisasi, namun tidak menghasilkan pulangan serta produktiviti seperti diharapkan dalam melaksanakan transformasi digital negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN