IPOH: Dua beradik yang juga pengarah sebuah stesen minyak masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual minyak diesel melebihi had ditetapkan kepada sebuah lori yang telah diubah suai, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wong Kee Seung, 71, dan adiknya, Wong Kee Sooi, 62, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas dua beradik itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang mewakili Syarikat Petrol Botani Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen barang kawalan runcit didapati telah menjual bahan api diesel kepada Lee Kar Foo, 42, yang diisi dalam tangki lori yang telah diubah suai berjumlah 2,558.16 liter.
Tindakan tersebut telah melanggar arahan Pengawal bertarikh 17 Jun 2022 perenggan 2(c) yang menyatakan bahawa pemegang lesen runcit hanya dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih daripada 250 liter dengan sekali transaksi sahaja sehari ke dalam tangki kenderaan asal.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Stesen Minyak BHPetrol Bandar Seri Botani, Jalan Seri Botani Utama di dalam daerah Kinta pada pukul 10.45 malam, 5 Oktober 2023.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), N. Shamani manakala tertuduh diwakili peguam bela, Khong Jia Luo.
Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN