KUALA LUMPUR: Peranan teater sebagai medium penghayatan Bahasa Melayu diperluaskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan penglibatan pelbagai kaum.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, ia termasuklah menerusi penganjuran Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025, kelmarin.
Katanya, hampir 800 pelajar daripada 80 sekolah Tamil seluruh negara mengambil bahagian, sekali gus mencapai hasrat pihaknya bagi menepis persepsi bahawa pementasan teater hanya tertumpu kepada kelompok tertentu.
Menurutnya, ia merupakan landasan penting menyemarakkan karya kreatif merentas kaum, di samping menjadikan bahasa kebangsaan sebagai wahana utama penyatuan masyarakat.
“Teater adalah cerminan kehidupan, melaluinya kita menyampaikan mesej yang mendalam, menyentuh jiwa penonton dan menyemai nilai murni dalam diri pemainnya.
“Bayangkan pelajar Tamil berlakon menggunakan Bahasa Melayu, menyampaikan cerita penuh nilai kemanusiaan. Itu adalah lambang indahnya Malaysia,” katanya ketika berucap pada pertandingan yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur kelmarin.
Mohd. Amran berkata, pertandingan itu juga memberi peluang generasi muda memanfaatkan Bahasa Melayu secara kreatif selain membina keyakinan diri, mengasah imaginasi dan memupuk semangat berpasukan.
“Saya berharap pertandingan ini menjadi pemangkin melahirkan generasi muda fasih dan bangga menggunakan Bahasa Melayu, mengukuhkan hubungan sekolah Tamil dengan komuniti serta menghidupkan apresiasi seni di sekolah,” katanya.
Katanya, sambutan positif diterima memberi ruang kepada JKKN menambah baik penganjuran, termasuk penggunaan platform digital serta peluang kerjasama dengan kerajaan negeri. – UTUSAN