KANOWIT: Jasad lelaki yang hilang selepas terjatuh di Sungai Batang Rajang di sini ketika membuang air besar di hujung tongkang ditemukan terapung, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 8.57 pagi pada jarak sekitar lima kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.
“Pihak bomba bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam masing-masing menggunakan bot bergerak ke lokasi setelah dimaklumkan oleh orang awam.
“Setelah tiba di lokasi, mayat mangsa diletakkan ke dalam beg mayat untuk dibawa ke jeti pekan Kanowit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata setiba di jeti, mayat lelaki warga tempatan berusia 54 tahun itu telah disahkan oleh keluarganya yang turut berada di lokasi.
Katanya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 10.40 pagi semalam, selepas terjatuh ke sungai ketika sedang membuang air besar di hujung tongkang yang sedang ditunda oleh sebuah bot tunda menyusuri Sungai Batang Rajang. – UTUSAN