Jangan pandang ringan isu pengambilan tanah - Johari

Jangan pandang ringan isu pengambilan tanah – Johari

JOHARI ABDUL GHANI ketika ditemui pada sambutan Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam urusan pentadbiran tanah diingatkan lebih peka terhadap cabaran semasa dan tidak lagi memandang ringan isu-isu berkaitan pengambilan tanah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana senario semasa jelas menunjukkan isu berkaitan tanah bukan sahaja membabitkan aspek teknikal dan undang-undang.

Beliau yang juga pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam malah berkata, ia turut menjadi medan pertikaian politik, sentimen masyarakat, serta campur tangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Kakitangan yang terlibat soal tanah, kalau dulu kita boleh mengambil mudah, tetapi hari ini negara telah bergerak ke hadapan, kita kena lebih fokus dan lebih ambil tahu ke hadapan yang tidak pernah kita lalui.

“Saya bagi contoh macam tanah Kampung Baru, apabila ada pembangunan semula flat-flat PKNS, dahulu tidak ada orang pertikai pasal tanah atau status tanah. Tetapi (isu Kampung Sungai Baru) hari ini, ia menjadi satu pertikaian yang sangat besar,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan Sempena S di sini hari ini.

Menurut Johari, ada dua kumpulan penduduk Kampung Baru iaitu kumpulan yang bersetuju dan tidak bersetuju apabila tanah mereka mahu dibangunkan.

Katanya, apabila persetujuan tidak dapat dikendalikan oleh pemaju-pemaju yang terlibat dalam soal tanah ini, maka ada pihak mula memainkan sentimen sehingga melibatkan isu politik.

Katanya, situasi itu memberi gambaran kepada negara bahawa berlaku rusuhan hanya kerana interpretasi sebuah kawasan ataupun tanah tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa naratif dan dasar berkaitan pentadbiran tanah harus ditentukan oleh kerajaan, bukannya pihak pemaju mahu pun ahli politik, bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat terus terpelihara.

“Apabila pendapat telah berpecah kepada dua dan masuk pula orang politik dalam isu ini dan masuk pula pemaju-pemaju yang mengambil kesempatan kerana tidak ada penjelasan teratur di antara tanah Melayu, tanah biasa, pegangan bebas atau pegangan pajakan.

“Ini isu yang perlu kita pastikan dan kita sebagai kerajaan mestilah naratif ini kena datang daripada kita bukan datang daripada pemaju atau ahli politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Titiwangsa itu turut menyentuh mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang dahulunya amat erat dengan hala tuju yang hampir seiring dalam pelbagai dasar dan pelaksanaan.

Bagaimanapun, katanya, setelah lebih 68 tahun, landskap hubungan itu telah berubah apabila kerajaan negeri kini mempunyai aspirasi dan hala tuju pembangunan masing-masing yang kadangkala tidak selari sepenuhnya dengan dasar Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN