Jalan rosak, masalah bau jadi fokus Bukhori di Pinang Tunggal

Jalan rosak, masalah bau jadi fokus Bukhori di Pinang Tunggal

BUKHORI Ghazali (kiri) turun padang untuk meninjau masalah debu yang dihadapi oleh penduduk di Pinang Tunggal, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal kira-kira dua tahun lalu, Bukhori Ghazali, 62, komited untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk di situ.

 

BIODATA
Bukhori Ghazali
Umur: 62 Tahun
Asal: Sungai Petani, Kedah
Jawatan:
 Adun Pinang Tunggal
 Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas
Pekerjaan Sebelum Menjadi Ahli Politik:
 Jurutera

Antara isu berbangkit yang menjadi fokus beliau adalah berkaitan masalah jalan rosak atau berlubang yang berpunca daripada kenderaan berat.

Katanya, masalah jalan rosak itu berlaku sepanjang lebuh Bertam Perdana yang bermula dari Pangkalan Udara Bomba di Bertam sehingga ke Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Bukhori berkata, masalah tersebut semakin meruncing apabila projek-projek pembangunan tumbuh bagai cendawan dengan kehadiran lori-lori yang membawa muatan berlebihan dan sebagainya sehingga menyebabkan jalan berkenaan semakin rosak.

“Dalam hal ini, saya mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak berkaitan seperti JKR (Jabatan Kerja Raya) dan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai).

“Saya juga difahamkan bahawa MBSP telah berbincang dengan agensi-agensi berkaitan untuk menguruskan masalah lori-lori yang membawa muatan berlebihan ini kerana tindakan mereka bukan sahaja merosakkan jalan raya, tetapi, membahayakan pengguna yang melalui jalan berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Jelas beliau, selain menjadi kegunaan penduduk Pulau Pinang, jalan di Pinang Tunggal ini juga menjadi antara laluan utama penduduk di Pinang Tunggal, Kedah untuk ke lebuh raya.

“Sebab itu, saya selalu utarakan isu jalan raya ini dalam sidang DUN termasuk masalah jalan yang berlubang dan sebagainya.

“Dulu, banyak kematian yang berlaku di jalan ini sebab masalah selekoh dan lain-lain. Tapi, hasil kerjasama dengan JKR, penambahan papan tanda dan sebagainya, masalah itu berkurangan,” katanya.

Selain masalah jalan rosak, Bukhori yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas berkata, isu lain yang menjadi fokus sepanjang beliau menjadi wakil rakyat adalah berkaitan pencemaran bau yang berpunca daripada ladang ternakan babi di Kampung Selamat.

Kata Bukhori, bukan mudah untuk menyelesaikan isu tersebut yang sudah berlarutan sejak hampir empat dekad lalu itu dalam masa terdekat.

“Masalah tersebut menjadi lebih teruk apabila sisa buangan dari ladang ternakan babi itu dibuang ke dalam sungai yang mengalir sehingga ke Permatang Berangan.

“Dalam hal ini, saya agak lega kerana ADUN Permatang Berangan (Mohd. Sobri Saleh) sedia bekerjasama untuk menguruskan masalah bau yang berpunca daripada pencemaran ini,” katanya.

Bukhori berkata, bagaimanapun, penebangan pokok-pokok untuk tujuan pembangunan termasuk pembinaan kawasan perumahan baharu di sekitar Pinang Tunggal menyebabkan masalah bau itu terus berlaku, malah, menjadi lebih buruk.

“Saya difahamkan, dulu ada cadangan untuk buat projek biogas di sini. Tapi, ia telah ditukar dengan konsep yang lain.

“Di Kampung Selamat juga, sisa buangan (termasuk najis babi) ini akan diproses (dilupuskan) secara komuniti. Maknanya, setiap ladang akan proses sendiri.

“Dalam hal ini, sebagai ADUN yang bertanggungjawab, saya akan terus memantaulah. Apa yang saya nampak, kerajaan negeri tidak ‘lepas tangan’ dalam hal ini walaupun ia berlaku dalam kawasan pembangkang,” ujar beliau.

Bukhori bagaimanapun berharap agar ladang-ladang ternakan babi itu dapat dipindahkan untuk jangka masa panjang selepas ini.

“Kalau boleh, pindah ke kawasan-kawasan lainlah. Bukan apa, sebab kawasan ni banyak penempatan orang Melayu di kiri dan kanan,” kata beliau.

Selain masalah pencemaran bau dan jalan raya yang rosak, Bukhori berkata, pihaknya juga ada memohon untuk mendapatkan sebuah balai polis dan klinik kesihatan khusus untuk penduduk di Pinang Tunggal.

Ketika ini katanya, penduduk Pinang Tunggal yang ingin ke balai polis atau klinik kesihatan perlu ke Tasek Gelugor atau pekan Kepala Batas memandangkan kedua-dua kemudahan itu tidak disediakan di Pinang Tunggal.

“Saya juga ada mengusulkan supaya satu papan tanda berbentuk pintu gerbang dibina memandangkan Pinang Tunggal ini terletak bersempadan antara Pulau Pinang dan Kedah.

“Buat produk pelancongan atau buat replika. Ini secara tidak langsung dapat membantu penduduk setempat meningkatkan taraf ekonomi masing-masing lah,” katanya.

Tambah Bukhori, sebagai ADUN pembangkang, beliau turut berusaha untuk mengumpul dana sendiri dengan bantuan daripada orang perseorangan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi penduduk di Pinang Tunggal selari dengan cogan katanya iaitu Pinang Tunggal Sejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN