Itu pandangan Mohd Yusoff, tidak mewakili kerajaan - Saifuddin

Itu pandangan Mohd Yusoff, tidak mewakili kerajaan – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, kenyataan dibuat Ketua Polis Kelantan berhubung isu kes rogol ‘suka sama suka’ tidak mewakili kementerian mahupun kerajaan.

Menurutnya, kenyataan dibuat Datuk Mohd Yusoff Mamat itu adalah pendapat dan peribadi beliau sahaja.

“Cadangan dan pandangan Mohd Yusoff itu dibuat berdasarkan kepada angka dan statistik yang berlaku di negeri Kelantan.

“Itu pendapat dia. Kekal sebagai pendapat dia dulu. Belum sampai untuk saya bagi komen apa-apa. Datuk Yusof bagi pandangan berasaskan kepada angka-angka yang berlaku di Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pengoperasian pertukaran MyKad di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Yusoff yang mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Mohd Yusoff menjelaskan cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri ini adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Jelas Saifuddin lagi, kenyataan oleh Mohd Yusoff itu perlu dilihat sebagai pandangan semata-mata, dan tidak wajar dibesar-besarkan seolah-olah perkara itu sudah menjadi dasar atau pindaan undang-undang negara.

“Jadi ada kalangan yang setuju dan ada yang tak setuju. Tapi apakah syor dia (Mohd Yusoff) itu sudah pun dibentangkan dalam Parlimen, sudah dilakukan libat urus, sudah dibuat pindaan…itu tak berlaku pun,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin turut membidas kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) yang mencabar kenyataan Ketua Polis Kelantan itu secara terbuka.

“Saya tengok Lawyers for Liberty pun cabar. Polis kena baling batu, kau senyap. Jadi benda-benda kenyataan terpilih macam itu pun malang juga bagi sekumpulan peguam profesional. Seolah-olah hak asasi hanya pada orang tertentu saja,” katanya.

Saifuddin turut melahirkan rasa kesal apabila kumpulan peguam itu dilihat hanya memilih isu tertentu untuk dibangkitkan sebaliknya mendiamkan diri apabila polis menjadi mangsa keganasan.

“Ketidakseimbangan dalam mempertahankan hak asasi manusia mencerminkan pendirian yang berat sebelah, sedangkan polis juga berdepan risiko keselamatan ketika bertugas.

“Polis luka, kena baling serpihan batu, senyap, sepi. Tak ada satu ulasan pun daripada kumpulan ini. Nak jadi pejuang hak asasi ini, kena jadi semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN