PETALING JAYA: Penyanyi, Daniesh Suffian, 27, menolak dakwaan yang dia menumpang populariti rakan seindustri, Azharina Azhar untuk meraih perhatian.
Malah Daniesh menganggap ruang kolaborasi dengan Azharina sebagai peluang keemasan untuk terus mengembangkan kerjayanya dalam industri muzik.
“Bagi saya, itu adalah peluang, bukan tumpang populariti. Saya tidak pernah paksa sesiapa untuk berkolaborasi.
“Semuanya dilakukan atas persetujuan kedua belah pihak,” ujarnya pada majlis pelancaran lagu duet bersama Azharina, Gunung Kinabalu, baru-baru ini.
Daniesh dalam masa yang sama menegaskan dia tidak pernah terdesak untuk mencipta kontroversi demi populariti.
“Memang ada jalan mudah untuk dikenali, tetapi saya memilih untuk kekal ‘bersih’. Kontroversi atau publisiti murahan akan memberi kesan kepada keluarga saya,” ujarnya.
Berhubung kolaborasinya dengan Azharina, Daniesh menggambarkan pengalaman tersebut sebagai momen yang sangat bermakna dalam perjalanan seninya.
“Projek ini memberi peluang baru dalam kerjaya saya. Bekerja dengan Azharina, yang juga sepupu saya, membuatkan ia lebih istimewa.
“Kami dapat merasakan ‘chemistry’ yang kuat sepanjang proses rakaman. Kami juga menerima banyak maklum balas positif daripada peminat. Ramai yang menyokong dan meminta kami teruskan kerjasama ini,” kongsinya.
Lagu Gunung Kinabalu yang telah dilancarkan secara rasmi 3 September lalu boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan Youtube Music. – UTUSAN