MELAKA: Satu video tular berhubung kerusi belakang tandas awam Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit mencetuskan spekulasi panas di laman sosial TikTok apabila dikaitkan dengan dakwaan tempat mengendap hingga buat orang ramai tidak senang duduk.
Ekoran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman hari ini meninjau lokasi tandas berkenaan.
Mohd. Noor Helmy berkata, semakan bersama dilakukan bagi menilai tahap keselamatan serta reka bentuk tandas tersebut yang menimbulkan keresahan pengguna selepas kelihatan beberapa kerusi diletakkan di bahagian belakang bangunan.
“Kawasan itu sebenarnya terbuka, kiri dan kanan boleh dilihat orang ramai kerana ia sentiasa dipenuhi pengunjung pada waktu pagi dan petang, jadi kemungkinan berlaku perkara mengendap agak sukar tanpa disedari.
“Namun kita tidak menolak kemungkinan kebimbangan itu wajar diberi perhatian, malah, reka bentuk tandas ini dibuat dengan konsep ventilasi semula jadi untuk pencahayaan dan pengudaraan, jadi kita ambil maklum dan akan tambah baik,” katanya kepada pemberita di lokasi berkenaan, hari ini.
Beliau turut menegaskan setakat ini tiada sebarang kes dilaporkan berlaku melibatkan gangguan seperti yang dibimbangi, sebaliknya hanya kerisauan masyarakat yang dizahirkan menerusi hantaran tular di TikTok sejak semalam yang berdurasi 27 saat.
Sementara itu, Shadan menjelaskan tandas berkenaan telah beroperasi lebih 10 tahun dan termasuk dalam senarai kemudahan yang akan dinaik taraf secara berperingkat.
“Kita memang ada perancangan setiap tahun untuk menaik taraf tandas awam MBMB termasuk aspek pencahayaan, infrastruktur asas, kemasan dalaman serta kelengkapan seperti mangkuk tandas.
“Peruntukan tahunan memang disediakan dan kita akan buat penambahbaikan supaya lebih selesa dan selamat digunakan pengunjung,” katanya.
Terdahulu, isu itu tular di TikTok selepas seorang pengguna memuat naik video menunjukkan beberapa kerusi diletakkan di belakang tandas berkenaan hingga menimbulkan kebimbangan berlaku aktiviti tidak bermoral.










