Insiden mercun Liga DUN, PBSNT tunggu laporan penganjur

Insiden mercun Liga DUN, PBSNT tunggu laporan penganjur

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mendapatkan laporan terperinci daripada pihak penganjur berhubung insiden membaling mercun dan suar ketika perlawanan Liga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengundang kecederaan kepada penonton serta pemain di padang.

Katanya, walaupun saingan itu tidak dianjurkan di bawah PBSNT, pihaknya tetap memanggil penganjur dan individu terlibat bagi memberi penjelasan serta nasihat lanjut.

“Penganjur seharusnya membuat laporan polis supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. Tindakan ini penting bagi mengelakkan perlakuan ganas di kawasan awam khususnya ketika berlangsung acara sukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana penganjur acara bola sepak atau sukan lain digesa memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek keselamatan ketika perlawanan berlangsung.

Katanya, kawalan ketat sewaktu pintu masuk stadium perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang bentuk bahan terlarang dibawa masuk penyokong.

Terdahulu, tular video memaparkan tindakan segelintir penyokong membaling mercun dan suar ketika aksi Liga DUN membabitkan pasukan Tanjung Sabtu FC menentang Paya Datu FC. Insiden berkenaan menyebabkan permainan terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-82 apabila pengadil bersama pemain terpaksa meninggalkan padang untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, perlawanan diteruskan selepas keadaan kembali reda dengan Paya Datu FC berjaya menewaskan Tanjung Sabtu FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN