Insiden ceroboh pentas peringatan besar soal keselamatan - Utusan Malaysia

Insiden ceroboh pentas peringatan besar soal keselamatan

SAARANI Mohamad (tengah) pada Program Empower Tahfiz Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-anak Tahfiz Negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk meneruskan sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Perak pada Ahad lalu dikagumi meskipun melalui insiden luar biasa apabila pentas utama diceroboh seorang wanita.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keadaan itu membolehkan Sambutan Hari Kebangsaan berjalan seperti biasa sehingga  majlis berakhir.

Bagaimanapun katanya, kejadian pencerobohan pentas itu merupakan satu peringatan besar tentang kepentingan soal keselamatan.

“Kita menzahirkan rasa kagum kita kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sebab apabila sesuatu berlaku Tuanku masih lagi meneruskan tugas, masih lagi menerima tabik hormat dan berjalan seperti mana yang kita rancang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Empower Tahfiz Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-anak Tahfiz Negeri Perak di sini hari ini.

Kejadian pada 8.20 pagi Ahad  lalu, seorang wanita berusia 41 tahun naik ke pentas orang kenamaan dan cuba mendekati Sultan Nazrin namun berjaya dihalang anggota pasukan keselamatan.

Kenyataan oleh Saarani itu merupakan kali pertama beliau mengeluarkan ulasan sejak kejadian itu pada Ahad 31 Ogos lalu.

Kata Saarani, perkenan Baginda supaya majlis diteruskan sangat menggembirakan kerana orang ramai tidak panik atau menjadikan insiden itu sebagai satu isu yang seolah-olah merosakkan majlis.

“Kalau kita lihat setelah majlis, Tuanku masih boleh pergi turun bersalam berjumpa dengan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini turut berbincang dan mengambil tanggungjawab tentang kejadian tersebut.

“Kita mengambil tanggungjawab jika dikatakan ada kelompongan di mana-mana dalam penganjuran itu. Kita tidak menunding jari kepada sesiapa.

“Ia satu wake-up call. Ia adalah satu peringatan kepada sesiapa sahaja untuk mana-mana majlis yang dihadiri oleh orang kenamaan (VIP), tidak semestinya Menteri Besar atau Exco, penyanyi atau personaliti popular yang mengundang kehadiran orang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN