Hormati semangat permuafakatan - Tuanku Muhriz

Hormati semangat permuafakatan – Tuanku Muhriz

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berangkat hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1447H/2025M di Padang Majlis Bandaraya Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat perlu terus dihormati.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, oleh itu sebarang tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat berkenaan perlulah dijauhi.

“Ia demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang warganya menerima dan menghormati perbezaan, hidup berpadu, rukun dan damai.

“Semangat ini juga telah terpahat sebagai cogan kata dalam Jata Negara yang diwartakan sejak tahun 1952 lagi iaitu Bersekutu Bertambah Mutu,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikiam pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1447H/2025M di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Turut berkenan mencemar duli berangkat hadir, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Baginda bertitah lagi, dalam konteks masyarakat majmuk di negara negara ini, sikap saling menghormati antara kaum amat penting.

“Umat Islam seharusnya menghormati kaum lain, kerana sesungguhnya, apabila kita menghormati orang lain, kita juga akan dihormati.

“Seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT, jika kita berbuat baik kepada sesama manusia, maka Allah akan membalas kebaikan itu dengan ganjaran yang lebih besar dan lebih bermakna, “titah baginda.

Menurut Tuanku Muhriz, semua umat Islam seharusnya menerapkan dan mengamalkan nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah, tolong-menolong dan hormat-menghormati dalam kehidupan seharian, bermula daripada seorang
pemimpin sehinggalah kepada rakyat jelata.

“Ini sebagaimana sifat kepimpinan yang dipamerkan Rasulullah SAW yang membuktikan bahawa baginda sentiasa memberi keutamaan kepada keadilan sosial, kesaksamaan dan integriti moral dalam membangun negara dan masyarakat.

“Umat Islam juga wajar mengambil peluang untuk menunjukkan keindahan, kebesaran dan kesucian agama Islam kepada masyarakat bukan Islam melalui akhlak yang mulia. Islam bukan sahaja menekankan hubungan antara manusia dengan Allah SWT, bahkan juga antara manusia dengan manusia.

“Oleh demikian, umat Islam perlu terus bersatu untuk memperkukuh perpaduan dan persaudaraan sesama sendiri serta menanam semangat kebersamaan dengan kaum-kaum lain,” titah baginda lagi.

Sementara itu, lebih 70 buah kontinjen membabitkan seramai 4,000 orang peserta terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, institut pengajian tinggi (IPT), sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam perarakan sempena sambutan majlis tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×