BAGAN DATUK: Kerajaan bercadang meletakkan Halal Development Corporation (HDC) di bawah Suruhanjaya Halal Malaysia yang akan ditubuhkan kelak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini HDC berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) namun perbincangan telah diadakan agar ia diserapkan ke dalam suruhanjaya berkenaan.
“Kabinet pada dasarnya telah bersetuju supaya Suruhanjaya Halal Malaysia ini dapat diwujudkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Saya berazam untuk meletakkan semua penjawatan HDC di dalam suruhanjaya berkenaan,” katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Armada Utama, Politeknik Bagan Datuk di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Ahmad Zahid, agenda memperkasa wanita dalam industri halal juga akan diberi penekanan melalui Suruhanjaya Halal Malaysia.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan HDC diharap dapat memberi lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan khususnya wanita untuk terlibat di dalam industri halal.
“Saya mengharapkan agar HDC yang diserapkan ke dalam suruhanjaya ini mempunyai agenda penting, iaitu mewujudkan lebih ramai usahawan wanita dalam industri halal.
“Malah, saya mahu supaya suruhanjaya baharu nanti mempunyai program khas bagi menyokong penyertaan wanita dalam bidang ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, industri halal mempunyai potensi besar bukan sahaja di peringkat domestik tetapi antarabangsa.
Bagaimanapun katanya, usahawan tempatan harus mempelbagaikan produk dengan tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman semata-mata.
“Halal ini bukan hanya untuk muslim. Halal adalah untuk semua bangsa dan semua agama kerana produk halal adalah tentang kebersihan dan secara saintifiknya telah diuji,” katanya. – UTUSAN