Hargai sebaik mungkin masa dengan anak - Fattah Amin - Utusan Malaysia

Hargai sebaik mungkin masa dengan anak – Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fattah Amin, 34, memaklumkan dia akan sedaya upaya meluangkan masa bersama anaknya, Nur Fatima Aisya, 5, meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat.

Kata Fattah, dia sedar dirinya akan terlepas banyak momen istimewa sekiranya kurang meluangkan masa dengan Fatima.

“Kita patut guna sebaik mungkin peluang kita bersama anak dan jangan tunggu ada duit dan masa baru bawa mereka pergi bercuti.

“Kita sibuk cari duit, tunggu ada masa. Dalam menunggu ada masa itu, anak-anak kita pun membesar.

“Wang boleh cari, tapi momen dengan anak itu akan terlepas kalau kita tak luangkan masa dengan mereka.

“Jadi, bila dapat peluang, nikmatilah momen tersebut. Hargai setiap saat kita bersama anak. Itu yang saya cuba lakukan untuk Fatima,” katanya pada pelancaran platform penstriman digital, UTV, baru-baru ini.

Fattah mengulas tentang percutian bersama Fatima dan keluarganya ke Hong Kong, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fattah juga menjelaskan sebab mengapa dia kurang berkongsi kepada umum mengenai percutian di Hong Kong baru-baru ini.

“Perkara itu bersifat peribadi. Saya mahu nikmati masa bersama keluarga. Sebab itu saya tidak banyak berkongsi momen di Hong Kong bersama mereka di media sosial.

“Saya pula sejak dulu menjaga privasi, kalau ada kesempatan barulah saya kongsikan di media sosial.

“Apa pun perkara ini bergantung kepada diri sendiri. Ada orang suka berkongsi di media sosial. Saya pula bila ada kesempatan, barulah saya kongsikan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN