PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan penurunan harga petrol RON95 pada kadar 1.99 seliter bagi warganegara Malaysia menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) dan RM2.60 bagi bukan warganegara mulai 30 September ini.
Bagaimanapun, kemudahan subsidi ini boleh mula digunakan oleh semua anggota polis dan tentera pada 27 September melibatkan kira-kira 300,000 orang, manakala golongan B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September sekitar 5 juta orang.
Pemberian subsidi ini hanya layak kepada individu yang mempunyai lesen memandu yang sah tidak mengira tahap pendapatan rakyat dan kedudukan dengan dianggarkan seramai 16 juta rakyat menerima manfaat subsidi BUDI95 ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keistimewaan ini sebagai pengiktirafan dan penghargaan untuk semua rakyat Malaysia mengambil semangat sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Mulai 30 September juga, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi, ia hanya untuk perseorangan yang ada lesen memandu.
“Seperti langkah penghargaan SARA, ia tidak kira tahap pendapatan atau kedudukan rakyat kerana kita berikan manfaat subsidi RON95 ini kepada semua.
“Mungkin ada juga kritik mengapa golongan mahakaya pun dapat subsidi, ini kerana ia satu penghargaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95 dan hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi.
Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar dan pembaca MyKad disediakan di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
Bagi mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi.
Anwar berkata, Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya negara di dunia yang berani menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter, meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan beban hutang yang tinggi.
Jelasnya, keputusan kerajaan ini adalah hasil daripada peningkatan kecekapan pentadbiran, kutipan hasil yang lebih baik serta usaha membanteras ketirisan, termasuk aktiviti penyeludupan yang merugikan negara dan dengan itu, pulangan dikembalikan semula kepada rakyat lebih bermakna.
Anwar berkata, Malaysia antara yang terendah harga minyak berbanding di beberapa negara lain, termasuk Arab Saudi (RM2.61 seliter), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).
“Keputusan dasar besar oleh rakan-rakan Jemaah Menteri memenuhi janji kita, ia patut lebih awal tetapi melihat kepada kekangan ekonomi dan beban hutang yang besar kita kaji sepenuhnya supaya tidak menjejaskan kedudukan ekonomi negara.
“Alhamdulillah saya syukur kerana kita dapat lagi laksanakan dalam keadaan ekonomi tidak menentu untuk melaksanakan sesuatu yang boleh benar-benar meringankan beban rakyat,” katanya. – UTUSAN