Hampir 99 peratus siap, Jalan Pantai Batu Rakit runtuh semula - Utusan Malaysia

Hampir 99 peratus siap, Jalan Pantai Batu Rakit runtuh semula

KEADAAN terkini struktur benteng baharu yang siap dibina telah runtuh kembali malam tadi di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS:  Jalan Pantai Batu Rakit di Laluan T145 berhampiran Kampung Tanjung di sini, runtuh malam tadi iaitu hanya beberapa bulan selepas kerja pembaikan dijalankan susulan kejadian runtuhan awal tahun ini.

Insiden terbaru itu melibatkan runtuhan sepanjang kira-kira 100 meter dan dipercayai berpunca daripada hakisan pantai yang berterusan.

Beberapa rakaman video berkaitan kejadian tersebut turut tular dalam media sosial, mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat yang bimbang akan keselamatan mereka serta ketahanan infrastruktur berkenaan.

Jalan berkenaan sebelum ini telah mengalami runtuhan sepanjang 280 meter akibat fenomena cuaca buruk semasa Musim Monsun Timur Laut, dan kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada April lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.95 juta.

Projek pemulihan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober ini, namun kejadian runtuhan semula ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pelaksanaan projek serta perancangan jangka panjang bagi menangani masalah hakisan di kawasan pantai.

Struktur benteng baharu di laluan itu runtuh semula malam tadi walaupun jalan berkenaan sudah digunakan orang ramai dan turut menjadi lokasi tumpuan bersantai.

Tinjauan di lokasi mendapati, runtuhan terbaharu berlaku di bahagian benteng tengah laluan sehingga menjejaskan akses pengguna jalan raya, manakala benteng sedia ada jelas menunjukkan rekahan dan struktur yang semakin lemah.

Jalan berkenaan kini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan berikutan keadaan benteng yang tidak stabil serta risiko hakisan yang berterusan.

Lebih membimbangkan, beberapa kawasan hakisan baharu turut muncul berhampiran lokasi sama dengan pasir di bahagian benteng dilihat masih ditarik arus laut menandakan proses hakisan masih aktif dan boleh menyebabkan runtuhan lebih besar jika tidak ditangani segera.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mus berkata, mereka sudah lama memberi cadangan supaya kawasan benteng ditambak dengan lebih banyak batu bagi menguatkan tapak binaan, namun pandangan itu seakan tidak diendahkan.

“Kami ada beri nasihat untuk tambak batu di hadapan benteng sebelum ini, tapi tindakan tidak dibuat. Dua hari lepas saya sendiri nampak pasir di bawah benteng perlahan-lahan ditarik ombak, memang dah nampak tanda awal. Tengok sekarang, belum sempat musim tengkujuh dah runtuh.

“Nanti bila hujan lebat dan ombak kuat, apa akan jadi? Kawasan kampung di depan-depan sana pun semakin terhakis, tiada tindakan juga. Sampai bila kami nak tunggu?” katanya ketika ditemui.

Bagi penduduk lain, runtuhan benteng itu seolah-olah memberi isyarat awal bahawa masalah hakisan di Batu Rakit jauh lebih serius daripada yang disangka.

Mereka berharap pihak berkuasa segera turun padang dengan langkah lebih agresif, bukannya hanya menunggu selepas berlaku keruntuhan atau bencana.

“Kami tak mahu tunggu musim tengkujuh jadi saksi. Kalau awal-awal buat betul-betul, mungkin tidak seteruk ini. Nyawa dan rumah kami yang jadi taruhan,” tegas seorang lagi penduduk yang enggan dikenali.

Seorang lagi penduduk, Rahmah Musa, pula berkata kebanyakan keluarga di kawasan itu kini hidup dalam kebimbangan kerana mereka tidak tahu berapa lama rumah yang berdekatan pantai boleh bertahan.

“Kalau projek baru pun tak mampu bertahan lama, macam mana nasib rumah-rumah kami yang dah lama berdiri dekat pantai? Malam-malam kami tidur pun tak lena bila ombak kuat, takut runtuh sekelip mata.

“Kalau dibiarkan tanpa tindakan segera, Batu Rakit ni boleh hilang sedikit demi sedikit ditelan laut,” ujarnya.

Kejadian terbaharu itu menimbulkan kebimbangan ramai kerana projek yang hampir 99 peratus siap dengan kos keseluruhan RM4.95 juta kini kembali gagal sebelum sempat bertahan lama.

Lebih meresahkan, Monsun Timur Laut (MTL) yang akan tiba tidak lama lagi sekali gus berpotensi menguji ketahanan benteng sedia ada dan mempercepatkan hakisan pantai yang terus mengancam keselamatan rumah penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Januari lalu, jalan ini ditutup sepenuhnya selepas laluan sepanjang kira-kira 50 meter dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh dibadai ombak besar setinggi 2.4 meter.

Susulan itu, kerja-kerja pembinaan semula dimulakan pada April lalu termasuk menambah benteng pemecah ombak bagi menampan pukulan arus laut, namun kegagalan terbaru ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya terhadap tahap keberkesanan struktur tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN