Guru sekolah bersara awal rugikan negara

Guru bersara awal rugikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Data yang dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan seramai 19,179 guru sekolah menengah dan rendah memilih untuk bersara awal sejak tahun 2022 hingga Mei tahun ini dengan kebanyakannya memberi alasan tidak lagi berminat menjadi pendidik.

Fenomena guru bersara awal ini boleh dikatakan satu bencana besar terhadap sistem pendidikan negara dan boleh memberi kesan besar terhadap kelangsungan usaha untuk melahirkan cerdik pandai dalam kalangan warga tempatan.

Ironinya selama ini kita terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan guru terutamanya bagi mata pelajaran kritikal.

Oleh itu, apabila wujud pula situasi guru semakin ramai memilih untuk bersara awal maka keadaan ini sudah tentu akan mengeruhkan lagi statistik bilangan guru cukup yang diperlukan di sekolah.

Berdasarkan data yang dibentangkan di Dewan Rakyat, seramai 5,306 guru bersara awal pada 2022, manakala 2023 seramai 6,394 orang, 5,082 (2024) dan 2,397 (Mei 2025).

Daripada data tersebut, sebanyak 67.44 peratus guru memberikan alasan tidak lagi berminat, 17.43 peratus lagi memberikan alasan masalah keluarga, 7.69 peratus mengalami masalah kesihatan, 5.3 peratus berpunca beban kerja dan 2.08 peratus lagi masalah peribadi.

Kita hargai pelbagai usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh KPM bagi menangani isu kekurangan tenaga pengajar di samping memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara.

Antara inisiatif yang cukup signifikan dan efisien adalah pelaksanaan proses pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, selain Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pula membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru.

Selain itu kita dapati Kementerian Pendidikan juga telah membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021 dan membangunkan dokumen Deskripsi Tugas (JD) sejak 2016, yang menjelaskan akauntabiliti tugas secara spesifik serta dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif.

Malah pelantikan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan bukan guru juga dilihat dapat mengurangkan beban golongan pendidik di sekolah.

Terkini, Kementerian Pendidikan melaksanakan satu lagi pembaharuan dengan melantik pembantu guru MySTEP untuk mengurangkan beban guru dalam urusan pentadbiran.

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN