TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal dengan pendirian mempertahankan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama kerajaan campuran sedia ada kerana terbukti membawa kestabilan politik dan kemajuan negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Hajiji telah menunjukkan pencapaian cemerlang melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak mengambil alih pentadbiran pada 2020.
“Beliau seorang pemimpin yang kurang bercakap tetapi banyak bekerja dan hasil kerjanya terbukti dengan fakta. Malah, 94 peratus daripada KPI pembangunan negeri berjaya dicapai dalam tempoh pelaksanaan setakat ini.
“Kestabilan politik yang ada pada hari ini amat penting untuk memastikan usaha pembangunan dan agenda rakyat dapat diteruskan. Sebab itu kita akan pertahankan kepimpinan Hajiji,” katanya di sini semalam.
Mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa tidak bekerjasama dengan GRS tidak bermakna bermusuhan, Nizam berkata, prinsip demokrasi memberi ruang kepada mana-mana parti untuk bertanding, namun pihaknya tetap yakin dengan hala tuju kepimpinan Hajiji.
“GRS memastikan Sabah diurus tadbir oleh anak-anak Sabah sendiri. Ini kerajaan yang benar-benar bekerja untuk memperbaiki kelemahan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dan membawa pencapaian yang membanggakan untuk rakyat,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya 1.0 telah berjaya meletakkan semula ekonomi di landasan betul termasuk mengurangkan kadar miskin tegar.
Sehubungan itu, katanya, mandat baharu amat diperlukan untuk GRS agar dasar dan projek pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan secara berterusan. – UTUSAN










