KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Jaffari Waliam tidak menolak peluang jika diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat Sabah)) berkata, hasrat bertanding bukan semata-mata mengisi kerusi, sebaliknya membawa suara rakyat memastikan kebajikan mereka terus terbela.
“Selain itu, jika peluang tersebut datang, saya ingin menjadikan Gum-Gum kubu kuat Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Saya sedia memikul tanggungjawab itu demi rakyat Gum-Gum jika diberikan kepercayaan pucuk pimpinan parti.
“Jentera untuk menghadapi PRN juga sudah siap siaga memastikan kerusi Gum-Gum dimenangi GRS,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain itu, beliau turut menyuarakan harapan pucuk pimpinan memberi laluan kepada GRS meletakkan calon bagi kerusi Gum-Gum pada PRN nanti.
Katanya, kerusi itu amat penting kepada GRS dan berharap calon nanti daripada gabungan itu supaya dapat memperkukuh kedudukan serta memastikan suara rakyat diwakili dalam kerajaan negeri.
Jaffari berkata, rekod pentadbiran kerajaan GRS dan Pakatan Harapan (PH) plus yang menekankan pembaharuan pentadbiran, pengurusan kewangan berhemah serta pelbagai inisiatif kebajikan rakyat menjadi asas keyakinan kerusi DUN Gum-Gum mampu dirampas.
“Berdasarkan prestasi kerajaan hari ini dan sokongan rakyat, saya yakin GRS mampu menawan kerusi Gum-Gum, sekali gus tidak boleh terus dipinggirkan kerana rakyat berhak menikmati pembangunan adil dan seimbang,” katanya.
Kerusi DUN Gum-Gum kini disandang Arunarnsin Taib daripada Parti Warisan yang menang pada PRN lalu dengan majoriti 269 undi selepas memperoleh 3,140 undi, menewaskan calon BN, Datuk Suhaimi Nasir yang meraih 2,871 undi dalam pertandingan enam penjuru. – UTUSAN










