JOHOR BAHRU: Kekurangan diri akibat masalah pendengaran dan bisu tidak menjadi penghalang dua graduan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menamatkan pengajian.
Hasil kegigihan menelaah pelajaran dan tidak malu bertanya pensyarah dan rakan-rakan nyata berbaloi apabila mereka antara 1,143 graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen PIS Ke-30, di sini semalam.
Graduan Sijil Kemahiran Hotel dan Katering, Tuan Nurin Anis Tuan Muhamad Asri, 21, yang menghadapi masalah pendengaran sejak berusia 10 tahun enggan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berusaha.
“Saya mengambil masa dua bulan mempelajari bahasa isyarat untuk memudahkan dalam pengajian. Mujur ada kawan-kawan yang senasib banyak membantu.
“Meskipun ada kekurangan saya tanamkan dalam hati untuk terus berusaha gigih, sekali gus menamatkan pengajian,” katanya.
Berkat usaha keras anak sulung daripada empat beradik dari Banting, Selangor itu berjaya menamatkan pengajian dengan Himpunan Purata Nilai Mata (CGPA) 3.88, sekali gus menerima Anugerah Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.
Graduan Sijil Kemahiran Reka Bentuk dan Grafik, Chang Sze Ting, 21, yang mengalami masalah percakapan dan pendengaran pula bersyukur kerana banyak mendapat bantuan daripada pensyarah sepanjang pengajian.
Dia yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.57 turut menerima Anugerah Ketua Jabatan Rekabentuk Komunikasi dan Visual hasil usaha gigihnya. –UTUSAN










