SUNGAI BULOH: Masjid Saujana Utama (MSU), Saujana Utama di sini dengan kerjasama Triple One Resources dan rakan strategik menganjurkan Kejohanan Golf Amal MSU 2025 di Bukit Beruntung Golf & Country Club, baru-baru ini.
Program tersebut melibatkan penyertaan 128 pemain merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk wanita dan bukan Muslim.
Nazir MSU, Prof. Madya Dr. Saiful Farik Mat Yatin berkata, penganjuran kejohanan bukan sahaja bertujuan mengumpul dana bagi pembangunan, penyelenggaraan dan pengimarahan masjid, malah membuktikan masjid berfungsi sebagai pusat penyatuan masyarakat.
“Semoga setiap sumbangan menjadi saham akhirat dan keberkatan kepada semua. Kami berharap kejohanan ini akan menjadi acara tahunan yang mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim,” katanya.
Program dirasmikan oleh Pengarah JKR Selangor, Ir. Shukri Ishak
Penyelaras kejohanan, Mohamed Zaidi Abdullah menzahirkan penghargaan kepada para penaja, peserta dan rakan strategik atas sokongan padu yang menjayakan penganjuran.
“Diharap program ini menjadi platform dakwah tahunan bagi memperkukuh semangat kesukarelawanan serta budaya berwakaf demi kesejahteraan komuniti,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengarah Triple One Resources, Wan Ismail Hashim, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan golf tetapi wadah mempertemukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana harmoni.
Kejohanan Golf Amal MSU 2025 turut menyediakan hadiah untuk pelbagai kategori dan juga cabutan Rahmah. – UTUSAN