Festival Koperasi Wanita 2025 sasar 50,000 pengunjung

Festival Koperasi Wanita 2025 sasar 50,000 pengunjung

Abdul Fattah Abdullah (dua dari kanan), dan Rozilah Mohd Tahir (dua dari kiri) pada sidang akhbar Karnival Koperasi Wanita di Bangunan Angkasa, Petaling Jaya hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Festival Koperasi Wanita (Women Coop Fest) yang bakal berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober ini di MyTown Cheras Mall menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung, dengan pelbagai acara yang menarik.

Pengerusi Konsortium Koperasi Wanita Malaysia (KOWIMA), Rozilah Mohamad Tahir berkata, objektif utama festival adalah memberi peluang kepada koperasi-koperasi wanita mempromosi produk mereka dan menyediakan platform pendedahan yang lebih luas kepada orang ramai.

“Kami juga memberi fokus kepada penglibatan anak muda melalui penganjuran pertandingan e-sport. Inisiatif ini bukan sahaja mampu menarik minat generasi belia, tetapi juga membuka ruang untuk mereka meneroka potensi dalam bidang koperasi wanita di masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar karnival itu di Bangunan Angkasa di sini hari ini.

Festival selama empat hari itu akan menyajikan pelbagai aktiviti termasuk pameran dan jualan produk usahawan wanita, festival food truck, pertandingan memasak, karaoke, dekorasi kek dan persembahan kebudayaan.

Selain itu, acara utama seperti pertandingan e-sport, pertunjukan kucing “Mr & Mrs Meow” dan ceramah agama dijangka menjadi tarikan pengunjung, sekali gus menjadikan Women Coop Fest 2025 bukan sekadar platform jualan, tetapi juga medan pendidikan, hiburan keluarga dan jaringan perniagaan koperasi wanita.

Sementara itu, Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Seri Fattah Abdullah, berkata penganjuran Women Coop Fest 2025 turut seiring dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC 2025) yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan tema ‘Be The Better World’.

“Angkasa amat berbangga kerana program ini bukan sahaja memartabatkan peranan koperasi wanita di Malaysia, tetapi juga menjadi bukti bahawa koperasi tempatan mampu bergerak seiring dengan agenda pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat global,” katanya.

Jualan Rahmah turut akan diadakan selama dua hari bermula pada hari perasmian oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang dijangka turut dihadiri oleh Ahli Lembaga KOWIMA (ALK), inisiatif ini diyakini dapat meringankan beban kos sara hidup di samping menarik lebih ramai pengunjung ke festival.

Dengan kepelbagaian aktiviti serta sokongan padu daripada pelbagai pihak, Women Coop Fest 2025 dijangka menjadi platform penting untuk mengangkat koperasi wanita ke tahap lebih tinggi, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara usahawan wanita, belia dan masyarakat umum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN