Dulu kewangan tidak bagus, terpaksa berlakon enam filem setahun - Shaheizy Sam
 - Utusan Malaysia

Dulu kewangan tidak bagus, terpaksa berlakon enam filem setahun – Shaheizy Sam


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam, mengakui pernah melalui zaman bekerja tanpa henti terutama di awal kemunculannya sebagai pelakon bagi mengukuhkan kewangan.

Mengimbau detik itu, Sam atau Shaheizy Sam Abdul Samad, 43, menerima tawaran berlakon sehingga enam filem dalam setahun untuk menampung hidup.

“Zaman saya bersama MIG Production, saya tiada masa nak buat persediaan sebab ketika itu kewangan saya tak berapa bagus.

“Jadi saya perlu bekerja ‘back to back’. Itu sebab ketika itu boleh nampak saya menjayakan lima hingga enam filem dalam setahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Sam situasi hidupnya mula berubah selepas menceburi bidang perniagaan pada 2016 dan tidak hanya bergantung kepada lakonan sebagai mata pencarian.

“Saya mula berniaga kerana tak mahu terlalu bergantung pada lakonan. Sekurang-kurangnya ada pendapatan tetap dan saya boleh pilih karya yang betul-betul memberi kepuasan kepada diri.

“Bila dapat skrip yang sesuai, saya ambil masa untuk buat persediaan. Saya dah berlakon dari 2009 hingga 2015 secara ‘all out’. Bermula 2016, saya perlahankan dan fokus berniaga,” jelasnya.

Sementara itu, jelas pelakon Adnan Sempit itu lagi, bukan semua pelakon mampu bekerja dan melakukan persediaan dalam tempoh panjang apalagi jika melibatkan perubahan fizikal.

Tambah Sam, perkara sebegitu bergantung juga kepada situasi kewangan setiap
individu.

“Lain orang, lain keadaan. Alhamdulillah, saya diberi rezeki lebih sikit, jadi cukup sekadar satu atau dua filem setahun.

“Tapi saya faham tak semua pelakon ada pilihan itu. Ada yang perlu terus bekerja,” katanya yang menaikkan berat badan sehingga 30 kilogran untuk filem Badak.

Mengulas lanjut mengenai filem terbaharunya, Badak, beliau mengambil masa tiga bulan untuk mempelajar bahasa isyarat selain menaikkan berat badan atas permintaan pengarah, M Raihan Halim.

“Saya percaya watak seperti Badak sukar diperoleh. Bila pengarah tawarkan, saya terus setuju tanpa fikir panjang.

“Kami ambil masa lebih tiga bulan untuk faham dan kuasai bahasa isyarat. Sukar, tapi satu pengalaman berharga,” katanya.

Menurut Sam, cabaran utamanya ialah meyakinkan penonton bahawa dia benar-benar seorang yang pekak dan bisu.

“Dalam lakonan, saya perlu buat orang percaya. Sama seperti watak Adnan Sempit atau Inspektor Khai dalam Polis Evo, saya perlu hilangkan identiti sebenar.

“Kali ini, saya terpaksa ubah fizikal dan naikkan berat badan dalam masa tujuh bulan,” katanya.

Badak turut menampilkan Aida Amron, Wan Hanafi Su dan Kahoe Hon dan bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 2 Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN