KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal, Zizan Razak menyifatkan ibu dan bapa sebagai sumber inspirasi dalam membentuk keperibadiannya mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.
Mengimbau kembali kehidupan sewaktu kecil, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak berkata, meskipun keluarganya hidup dalam serba sederhana, namun sikap pemurah ibu dan bapanya meninggalkan kesan dalam dirinya.
“Dulu keluarga saya hidup sederhana, tak kaya, cukup-cukup makan sahaja. Tapi ibu bapa saya tak pernah lokek.
“Kalau kawan-kawan datang rumah, mereka akan jamu apa yang ada. Apa yang kami makan, itulah yang dikongsi bersama,” katanya ketika ditemui selepas acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years, baru-baru ini.
Jelas Zizan, prinsip itu terus dipegang hingga ke hari ini untuk berkongsi rezeki dengan ikhlas.
“Itulah yang saya pegang sampai sekarang. Apa yang saya ada, saya cuba kongsi.
“Saya tahu mungkin sumbangan saya tak sebesar orang lain, tapi bagi saya keikhlasan lebih penting. Saya beri ikut kemampuan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setiap nikmat yang dikecapinya hari ini adalah hasil doa ibu bapa, para peminat dan orang sekeliling.
“Saya buat semuanya kerana Allah. Apa yang saya ada hari ini pun datang daripada doa orang ramai. Kadang-kadang, daripada RM10 yang kita ada, hanya RM3 sahaja milik kita, selebihnya milik orang lain,” katanya.
Pelakon Abang Long Fadil itu juga turut mendedahkan tidak pernah berniat menghebahkan sebarang bentuk bantuan. Namun, akur sekiranya kisah itu memberi inspirasi kepada orang lain.
“Saya memang tak suka tunjuk atau hebahkan. Tapi mungkin Allah nak buka cerita ini supaya boleh beri inspirasi kepada orang lain. Itu sahaja niat saya. Saya pun bimbang kalau cerita ini buat saya lalai atau timbul rasa riak,” katanya.
Bagaimanapun, Zizan tidak menafikan pernah berdepan situasi individu yang memgambil kesempatan membuatkan berhati-hati menghulurkan bantuan.
“Kes yang menipu atau ‘scam’ banyak, membabitkan lebih ribuan ringgit. Namun, kalau dia memang benar-benar susah, saya akan bantu seikhlas mungkin,” katanya. -UTUSAN