GEORGE TOWN : Dua individu yang dilaporkan sesat ketika sedang melakukan aktiviti mendaki kawasan hutan berhampiran Freedom Hill, Batu Ferringhi, di sini petang tadi berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
Kedua-dua mangsa yang juga warga Australia itu dijumpai kira-kira pukul 5.08 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan dibantu oleh orang awam beberapa jam sebelum itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, kerja-kerja pencarian dibuat dengan berpandukan kepada lokasi yang dikongsi oleh mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
“Selepas dijumpai selamat, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 44 dan 45 tahun itu kemudian dibawa turun ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 6.41 petang tadi.-UTUSAN