KUALA LUMPUR: Dua beranak ditemukan rentung selepas rumah teres satu tingkat yang mereka diami di Kampung Sri Indah A, Sungai Buloh musnah dalam kebakaran hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Kaw Sing Chai, 70-an, dan anaknya, Kaw Swee Fatt, 50-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.50 tengah malam, sebelum jentera tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat dan didapati terbakar 80 peratus. Api turut memusnahkan dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Perodua Kancil.
“Dua mangsa lelaki ditemukan rentung dalam rumah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan 28 anggota dari BBP Sungai Buloh dengan bantuan BBP Damansara, Rawang dan Bukit Jelutong.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.55 pagi sebelum padam sepenuhnya kira-kira pukul 3.40 pagi. Operasi turut dibantu unit K9 untuk siasatan lanjut.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN