PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah berkongsi pengalaman manisnya sebagai ibu apabila anak-anak trinya sering meminta pendapatnya dalam membuat semua keputusan, meskipun dia bukan ibu kandung mereka.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Watie menceritakan gelagat anak-anak Shuib yang lebih gemar merujuk kepadanya dahulu sebelum melakukan sesuatu, sama ada mahu meminta sesuatu barang, tidur di rumah datuk mereka atau bertanya tentang hal-hal kecil dalam kehidupan seharian.
“Kalau nak apa-apa, anak-anak bukan tanya ayahnya dulu, mereka akan datang pada saya. Kalau tanya ayahnya pun, mereka tahu akhirnya Shuib akan rujuk pada saya juga,” tambahnya lagi.
Menurut Watie, keadaan itu berlaku kerana kebiasaannya dia yang lebih dekat dan sentiasa ada dengan anak-anak, manakala ayahnya itu pula sibuk mencari rezeki.
“Untuk anak-anak, mak yang buat keputusan sebab mak lebih banyak masa dengan mereka, jadi apa-apa hal berkaitan anak, biasanya saya yang akan urus.
“Suami saya pula buat keputusan besar untuk rumah tangga,” ujarnya.
Kongsi Watie lagi, walaupun statusnya hanyalah ibu tiri, anak-anak Shuib tetap menghormati dan menganggapnya sebagai rujukan utama dalam banyak perkara.
Luahan tersebut menerima pelbagai reaksi positif netizen yang kagum dengan cara Watie membina hubungan harmoni bersama anak-anak tirinya. Malah, ramai memuji keikhlasan serta kelembutan sikapnya dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada keluarga baharu itu.
Sekadar info, Shahmira Muhamad, atau Shuib, sah menjadi suami kepada usahawan, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, atau Watie, pada 23 jun 2023 lalu.
Sebelum ini, Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011.
Namun, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.-UTUSAN